11 July 2012

Sifat-sifat Syaitan 2


Ciri # 5: Syaitan memiliki akal.

Berdasarkan bantahan syaitan kepada Allah, dapat kita mengetahui bahawa syaitan memiliki akal. Ini kerana ia telah menggunakan logik akal untuk membantah perintah Allah, seperti kata-katanya:

“Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah?”
“Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?”

Akal adalah sesuatu yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala agar dengan akal tersebut makhluk dapat mentaati dan melaksanakan perintah larangan-Nya dengan cara yang tepat dan betul. Sebaliknya jika akal digunakan untuk mengukur logik atau tidak sesuatu perintah larangan Allah, maka ia adalah suatu penyimpangan yang mengkhianati kurniaan akal itu sendiri. 

Ciri # 6: Syaitan ketawa.

Syaitan boleh ketawa. Ini dapat kita ketahui dari hadis berikut:

Menguap adalah dari syaitan. Maka apabila seseorang kalian menguap,
tahanlah sedaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang kalian menguap sambil berbunyi “Haaa” maka ketawalah syaitan. [Hadis Bukhari]

Jika tidak dapat menahan diri dari menguap, maka tutuplah mulut yang sedang menguap dengan tangan dan jangan mengeluarkan apa-apa bunyi. Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah mengajar kita:
  

Jika seseorang kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya

kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).

[Hadis Muslim]


Ada pun bersin, maka ia disukai oleh Allah. Rasulullah menjelaskan perbezaan antara menguap dan bersin:

Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap. Maka apabila (seseorang itu) bersin maka pujilah Allah dan merupakan hak bagi setiap muslim yang mendengar (saudaranya bersin) untuk mendoakannya.
Ada pun menguap, maka ia tidak lain berasal dari syaitan. Tahanlah ia semampu mungkin dan apabila (yang menguap) berbunyi “Haaa” maka ketawalah syaitan. [Hadis Bukhari]

Oleh itu bagi orang yang bersin, hendaklah dia memuji Allah dengan menyebut:

“Alhamdulillah”
 “Segala puji bagi Allah.”

Bagi yang mendengar orang bersin, dia berdoa:
 
“Yarham kallah”
“Semoga Allah merahmati kamu”.

Kemudian bagi yang bersin, dia menjawab kepada orang yang mendoakannya:

“Yahdi kumullah”
“Semoga Allah merahmati kamu juga”

 Ciri # 7: Syaitan memiliki tangan dan jari.

Rasulullah berpesan:

Apabila seseorang kalian makan, maka makanlah dengan tangan kanannya
dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya. [Hadis Muslim]

Oleh kerana itu kita umat Islam sangat-sangat ditekan untuk makan dan minum dengan tangan kanannya. Penekanan ini turut merangkumi apa jua perkakas yang digunakan seperti sudu, garpu , chopstick dan lain-lain, hendaklah semuanya dipegang dengan tangan kanan.

Pernah dahulu seseorang yang duduk bersama Rasulullah makan dengan tangan kirinya. Rasulullah menegur: “Makanlah dengan tangan kanan kamu.” Orang itu menjawab: “Aku tidak mampu.” Rasulullah menjawab: “Kamu tidak mampu?” Padahal dia enggan tidak lain kerana kesombongan. Perawi hadis, Salama bin al-Akwa’ kemudian menerangkan bahawa setelah itu lelaki tersebut tidak dapat mengangkat tangan kanannya ke mulutnya. Tangan kanannya menjadi lumpuh sejak dia membantah teguran Rasulullah.

Syaitan juga memiliki jari berdasarkan keterangan Rasulullah:

Setiap anak Adam (manusia) ketika lahir ditusuk di kedua tepi badannya
oleh syaitan dengan jarinya kecuali ‘Isa ibni Maryam,
syaitan hendak menusuknya tetapi hanya berjaya menusuk uri (ibunya). [Hadis Bukhari] 


Ciri # 8: Syaitan makan dan minum.

Berdasarkan sabda Rasulullah: “…sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya”, kita juga dapat mengetahui syaitan makan dan minum.

Syaitan makan apa-apa yang dibiarkan oleh kita, sama ada yang masih tersisa di pinggan atau apa yang terjatuh darinya. Oleh kerana itulah Rasulullah menyuruh kita menghabiskan semua makanan dan mengutip apa yang terjatuh darinya. Tindakan ini bukan sahaja mengelak makanan tersebut daripada diambil oleh syaitan tetapi untuk kita memperoleh keberkatan yang sepenuhnya dari makanan tersebut. Anas bin Malik berkata:

Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam makan,
baginda menjilat jari-jarinya tiga kali.

Anas berkata, bahawa Rasulullah bersabda:
“Jika sesuatu makanan seseorang kalian jatuh, hendaklah (dia mengambilnya) dan membersihkan apa-apa kotoran yang melekat padanya lalu memakannya. Janganlah meninggalkannya untuk syaitan.”

Anas melanjutkan: “(Rasulullah) juga menyuruh kami untuk menghabiskan apa-apa sisa makanan.” Baginda berpesan: “Ini kerana kalian tidak tahu
di bahagian manakah pada makanan kalian terdapat keberkatan.”
[Hadis Muslim] 

Untuk mengelakkan apa-apa makanan dari tersisa, hendaklah kita sejak dari awal menyukat jumlah makanan yang diletakkan ke dalam pinggan. Ambil sekadar yang perlu tanpa berlebih-lebihan. Syaitan akan menghasut kita untuk mengambil secara berlebihan kerana berlebihan adalah salah satu bentuk pembaziran dan hubungan antara orang yang membazir dengan syaitan adalah:

Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan. [al-Isra’:27]

Selain itu syaitan minum sambil berdiri.

Pada satu ketika Rasulullah melihat seorang yang minum sambil berdiri. Baginda menegur: “Jangan begitu!” Orang itu bertanya: “Mengapa?”  Rasulullah menjawab: “Adakah kamu suka minum bersama kucing?” Orang itu menjawab: “Tidak.” Rasulullah meneruskan:

Sesungguhnya telah ikut serta minum bersama kamu sesuatu yang lebih buruk darinya, iaitu syaitan.


Oleh itu hendaklah kita sedaya upaya mengelakkan diri minum sambil berdiri. Jika suasana tidak mengizinkan, boleh minum sambil berdiri. Ini kerana dalam suasana terpencil lagi terdesak, Rasulullah pernah minum sambil berdiri. ‘Abdullah ibn ‘Abbas berkata:

Aku menghidang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam air zam-zam
dan baginda meminumnya sambil berdiri. [Hadis Muslim]

bersambung...

No comments: