06 July 2012

Ganjaran Allah Itu Rahsia

Pada suatu hari, seorang pemuda Yahudi telah mengajak seorang rakannya yang Muslim untuk pergi menangkap ikan di sungai dengan menaiki sebuah sampan. “Wahai rakanku, mari kita bertanding pada hari ini, siapakah yang mendapat hasil tangkapan yang lebih besar!” cabar pemuda Yahudi tadi kepada rakan Muslimnya.

“Baiklah.. Aku rasa, lebih baik sekiranya kau yang mulakan terlebih dahulu..” balas pemuda Muslim tersebut.

Tanpa membuang masa, pemuda Yahudi tersebut menebarkan jalanya dan mendapat tangkapan yang sangat lumayan.

“Nah, sekarang tiba giliran engkau wahai rakanku..” kata pemuda Yahudi tersebut.

Sebelum menebarkan jalanya, pemuda Muslim tersebut berzikir terlebih dahulu kepada Allah s.w.t.

“Subhanallah..” kata pemuda Muslim tersebut, lantas menebarkan jalanya ke dalam sungai.

Namun, tiada seekor ikan pun yang melekat pada jalanya. Pemuda Muslim tersebut tetap tenang.

“Haha.. sekarang tiba giliran aku pula.” kata pemuda Yahudi tersebut berpuas hati.

Pemuda Yahudi tersebut menebarkan jalanya, dan sekali lagi dia mendapat tangkapan yang besar. Pemuda Muslim menebarkan jalanya untuk kali yang kedua.

“Subhanallah..”

Selepas mengucapkan tasbih kepada Allah s.w.t., dia menebarkan jalanya lagi sekali. Namun, sekali lagi tiada seekor ikan pun yang terperangkap di dalam jalanya.

Peristiwa ini berulang sehingga 3 kali dan mereka pun pulang.

Malaikat yang berada dengan dua pemuda itu semasa kejadian itu berasa pelik dengan apa yang berlaku, lantas bertanya kepada Allah s.w.t. tentang apa yang terjadi.

“Ya Allah, mengapa pemuda Muslim sebentar tadi langsung tidak mendapat hasil tangkapan, sedangkan dia sentiasa berzikir kepada-Mu sebelum menebarkan jalanya?” tanya Malaikat tersebut.

Allah s.w.t. menerangkan, “Sesungguhnya Aku suka setiap kali dia berzikir kepada-Ku dan ingin dia mengulangi perbuatan yang sama dan mendengar dia berzikir lagi. Oleh itu, Aku biarkan jalanya kosong supaya dia menjala dan berzikir lagi..”

“Jadi apakah ganjaran yang didapati oleh hamba-Mu sebentar tadi ya Allah?” tanya Malaikat itu lagi.

Allah s.w.t. menjawab, “Aku telah sediakan ganjaran yang paling besar untuknya di syurga. Lebih besar dari tangkapan ikan yang lumayan dan segala yang ada di dunia ini..”
  

p/s : istidraj. tidak ramai yang mengerti

No comments: