08 July 2012

Sifat-sifat Syaitan

Terdapat banyak ayat al-Qur’an dan hadis sahih yang menerangkan ciri-ciri syaitan. Semua ini didedahkan oleh Allah dan Rasulullah untuk kebaikan kita kerana dengan pengetahuan akan ciri-ciri syaitan, kita akan dapat mengetahui apa sifat mereka, sekadar mana kemampuan mereka dan bagaimana mereka bertindak.

Sebelum kita mengkaji ciri-ciri tersebut, sekali lagi saya ingin menasihati para pembaca yang budiman sekalian agar:

1.      Tidak berpaling atau membantah ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah yang dikemukakan.
2.      Tidak menilainya dengan akal atau cuba menselarikannya kepada akal dengan alasan “ciri-ciri tersebut ialah kiasan (majaz) semata-mata.”
3.      Tidak bertanya, berfikir dan menokok tambah dari apa yang sedia dijelaskan oleh al-Qur’an dan hadis.

Ciri # 1: Syaitan memiliki kepala.

Ciri ini diterangkan oleh Allah dalam firman-Nya:
Sesungguhnya Kami jadikan (pokok Zaqqum itu) satu ujian bagi orang-orang yang zalim. Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang, buahnya seolah-olah kepala syaitan-syaitan.
[as-Saffat:63-65]

Ciri # 2: Syaitan memiliki dua tanduk.

Rasulullah bersabda:
Janganlah kalian melaksanakan solat (sunat mutlak) pada waktu terbit matahari (selepas subuh) dan terbenam matahari (selepas asar)
kerana pada waktu itu muncul dua tanduk syaitan. [Hadis Muslim]

Ciri # 3: Syaitan memiliki hati, mata dan telinga.

Allah berfirman:
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat
dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi)
tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat).
[al-A’raaf:179]

Syaitan adalah dari jenis jin. Maka ciri-ciri yang dimiliki oleh jin dimiliki juga oleh syaitan. Dalam ayat 179 surah al-A’raaf di atas, Allah menerangkan bahawa jin memiliki hati, mata dan telinga. Maka demikian juga bagi syaitan, ia juga memiliki hati, mata dan telinga.

Kita mengetahui bahawa syaitan mendengar perintah Allah untuk sujud kepada manusia, menunjukkan bahawa syaitan memiliki telinga. Kemudian syaitan enggan sujud kerana takbur, dimana dua dari sikap takbur tersebut ialah ujub terhadap diri sendiri dan menghina kepada orang lain. Kedua-dua sikap ini merupakan peranan hati, menunjukkan bahawa syaitan memiliki hati.

Merujuk kepada penglihatan, syaitan dapat melihat manusia manakala manusia tidak dapat melihat syaitan. Allah menerangkan perbezaan ini:

Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.
[al-A’raaf:27]


Ciri # 4: Syaitan memiliki suara.

Syaitan juga memiliki suara dan boleh bercakap-cakap, membantah, menyoal, membisik dan menghasut dengannya. Semua ini dapat kita ketahui melalui dialog iblis dengan Allah.

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:
“Sujudlah kamu kepada Adam”, maka sujudlah mereka melainkan iblis; ia berkata: “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?”

Ia berkata lagi: “Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya,
kecuali sedikit (di antaranya).”

Allah berfirman (kepada iblis): “Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.

Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda
serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu).” Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.
[al-A’raaf:61-64]

Syaitan menggunakan suaranya untuk mengganggu manusia dengan pelbagai cara. Antaranya, bercakap kepada manusia melalui perantaraan batu, pokok, mata air dan haiwan. Umpama seseorang yang masuk ke hutan, tiba-tiba sebuah batu bercakap-cakap kepadanya: “Wahai Azlina! Kamu seorang wanita yang solehah. Amalan kamu selama ini telah mencukupi. Kini memadai untuk kamu berzikir sahaja, tanpa perlu solat, puasa zakat dan haji.” Percakapan tersebut sebenarnya berasal dari syaitan.

Oleh kerana suara-suara syaitan inilah sebahagian masyarakat menganggap wujudnya “penunggu” atau “penjaga” di kawasan hutan, air terjun, padang pasir dan sebagainya. Kemudian ada pula yang memberi petua, apabila memasuki hutan ucapkanlah selawat kepada nabi sekian-sekian kerana dia adalah penjaganya. Apabila menghampiri kawasan air terjun ucapkanlah selawat kepada wali sekian-sekian kerana dia adalah penjaganya. Semua ini hanyalah tipu daya syaitan untuk menyesatkan umat Islam.

bersambung...

1 comment:

Lolly..pop! said...

Salam, thank you for sharing..