26 January 2012

Tentera Allah - Nyamuk

Kisah ini mungkin ramai yang telah mendengar. Tetapi sama-sama kita mengimbau kembali sirah lalu.

Peristiwa berlaku pada zaman Nabi Allah Ibrahim. Raja yang memerintah pada zaman tersebut ialah Raja Namrud. Lebih kurang sama macam Firaun, bermimpi sesuatu dan setelah ditafsir mimpinya akan datang seorang lelaki yang akan menjatuhkan kerajaan beliau. Pantang dengar orang nak jatuhkan dia, terus dia lancarkan misi membunuh bayi lelaki dan wanita yang mengandung. Tetapi ada seorang bayi lelaki yang sempat diselamatkan dibawa, disimpan dan dijaga di dalam gua. Bayi itu adalah Nabi Ibrahim.

Apabila baginda meningkat remaja, baginda sering memikirkan tentang kewujudan alam dan pencipta. Menjadikan baginda salah seorang yang tidak mengikut tradisi menyembah berhala pada zaman itu. Walhal, kedua ibu bapanya adalah golongan yang taat pada penyembahan berhala. Majoriti kaumnya menyembah berhala, begitu juga dengan Raja Namrud. Baginda membuat keputusan untuk menghancurkan tuhan-tuhan berhala tersebut.
Habis pecah bersepai patung-patung yang kononnya Tuhan yang memberi perlindungan kepada kaumnya itu. Tindakan baginda mengundang kemarahan penduduk-penduduk. Baginda ditangkap dan dibawa menghadap Raja Namrud.

Raja Namrud bertanya, "Hang ka yang dok buat kecoh bagi hancoq habih tuhan-tuhan kami? Hang jangan buat lecehhh." Dengan selamba dan cool Nabi Ibrahim menjawab, "Cuba tanya patung tu siapa yang menghancurkan mereka." Namrud terdiam. "Mana boleh mereka bercakap, macam mana mereka nak beritahu siapa yang menghancurkan mereka." Memang Nabi Ibrahim tahu jawapan mereka akan begitu. "Jika begitu, mengapa kamu sembah patung-patung itu semua? Bukan mereka dapat bercakap, mendengar dan melihat, langsung tidak memberi manfaat kepada kamu semua. Malah patung itu sendiri tidak dapat menolong dirinya dari kehancuran dan kebinasaan. Bodoh sungguh kamu semua kerana boleh percaya patung-patung itu boleh menolong kamu sekalian.

Raja Namrud tersentak. Beliau baru sedar yang remaja di hadapannya itulah yang dimimpinya. Beliau rasa tergugat sedikit kerana Nabi Ibrahim tidak rasa takut langsung dengan beliau malah berani membantahnya. "Ini tak boleh jadi, nanti dia akan jatuhkan aku dengan kerajaanku. Remaja itu perlu dibunuh.", bisik hati Namrud. Maka Raja Namrud membuat keputusan menjatuhkan hukuman supaya Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup. Lalu baginda pun dilemparkan kedalam api yang menyala besar seperti bukit. Tetapi Allah telah mengarahkan api supaya menyejukkan dirinya agar Nabi Ibrahim tidak terbakar. "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim." (Surah al-Anbiya' : 69)

Terkejut orang ramai yang melihat perkara itu. Keajaiban yang tidak boleh diterima akal. Mereka mula mempersoalkan kepercayaan kepada Raja Namrud. Malah anak perempuan beliau sendiri iaitu Puteri Razia mengaku di hadapan orang ramai bahawa tuhan Nabi Ibrahim adalah tuhan yang sebenarnya. Lagi Raja Namrud naik angin lalu dia mengarahkan tenteranya untuk membunuh puterinya sendiri. Si puteri itu meluru masuk ke dalam api yang besar itu lalu berkata "Tuhan Nabi Ibrahim, selamatkanlah aku". Puteri itu terselamat juga dari dibakar dan di dalam api yang membara itu kedengaran dia mengucap kalimah syahadah. Sakit hati Raja Namrud, bertambah membara. Sebaik saja puteri itu keluar dari api, dia dan tenteranya mengejar puteri ke dalam hutan. Peluang baik untuk Nabi Ibrahim melarikan diri. Namun Raja Namrud gagal untuk menjejaki puteri beliau. Setelah peristiwa itu, Raja Namrud makin gelisah kerana rakyatnya mula hilang kepercayaan kekuasaannya.

Suatu hari Nabi Ibrahim dipanggil berdebat dengan Raja Namrud. "Ibrahim, siapakah yang menjadikan alam ini?", tanya Raja Namrud. "Yang menjadikan alam ini adalah Zat yang dapat menghidupkan dan yang dapat mematikan, dan berkuasa atas segala-segalanya.", jawab Nabi Ibrahim. "Aku juga berkuasa. Barangsiapa yang aku kehendaki dia untuk hidup maka hiduplah dia, dan apabila aku bunuh maka matilah dia.", balas Namrud dengan bongkak. Nabi Ibrahim segera membidas, "Tuhan kami adalah yang menerbitkan matahari dari sebelah timur, jadi cuba kau tukarkannya terbit dari arah barat." Terkedu Raja Namrud dengan jawapan sebegitu. "Mana boleh aku menukar kedudukan terbit matahari. Mustahil.", bisik hati
Raja Namrud. Namun dia tetap tidak mahu mengalah, dia berkata kepada Nabi Ibrahim "Hei Ibrahim, jika tuhanmu mempunyai malaikat, maka kirimkanlah kepadaku untuk berperang denganku. Jika berupaya ambillah kerajaanku ini." Wah, kemain bongkak sombong si Namrud ni. Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah "Ya Allah, sesungguhnya Namrud dengan tenteranya menunggu kedatangan tenteramu, maka kirimkanlah kepada mereka tenteramu yang selemah-lemah makhlukmu iaitu nyamuk."

Ketika Namrud dan tenteranya telah berkumpul di padang yang luas, maka Allah memerintahkan nyamuk keluar dari lautan. Lalu keluarlah tentera nyamuk hingga menutupi permukaan bumi dan langit. Kemudian nyamuk bertanya, “Ya Tuhan kami, apakah yang harus kami laksanakan?” Allah berfirman, “Aku telah menjadikan rezeki kamu semua pada hari ini berbentuk daging tentera Namrud.”

Kemudian Allah memberikan kekuatan kepada nyamuk-nyamuk tersebut. Lalu nyamuk-nyamuk tersebut menyerang tentera Namrud, menghisap semua darah mereka, Allah memerintahkan kepada nyamuk agar menunda penyeksaan terhadap Namrud. Agar ia dapat melihat sendiri kehancuran tenteranya. Maka nyamuk-nyamuk itu pun membiarkan Namrud sehingga ia dapat pulang ke istana.

Nabi Ibrahim as. merasa hairan dan takjub melihat peristiwa tersebut. Kemudian Allah berfirman kepadanya:

“Wahai Ibrahim, demi kemuliaan dan keagungan-Ku, sekiranya engkau tidak meminta kepada-Ku supaya mengutus tentera nyamuk, tentu aku akan mengirimkan yang lebih halus daripada nyamuk, jika seribu di antaranya berkumpul menjadi satu tidak mencapai besarnya nyamuk, tentu akan aku musnahkan juga mereka dengannya.”

Ketika telah dekat seksaan untuk Namrud, lalu Allah memerintahkan seekor nyamuk tempang sahaja untuk menjalankan tugas tersebut. Nyamuk itu berkeliling di sebatang pohon selama tiga hari. Setelah sampai tiga hari, maka ia masuk ke dalam kepala Namrud melalui lubang hidungnya. Namrud merasa sakit dan mengarahkan rakyat yang menghadapnya mengetuk kepalanya dengan kasut. Bila diketuk dengan kasut dia berasa lega. Akhirnya nyamuk tempang itu memakan otak Namrud selama 40 hari. Berakhirlah kehidupan seorang raja takbur yang mati dalam keadaan hina akibat serangan seekor nyamuk.

No comments: