13 January 2012

Tentera Allah - Angin

Peristiwa yang berlaku pada bulan Syawal tahun 627 Masihi. Perang Khandaq atau dikenali juga sebagai perang ahzab, adalah nama peristiwa pada masa itu. Khandaq bermaksud parit kerana tentera Islam menggali parit untuk membuat pertahanan manakala Ahzab bermaksud gabungan kerana Yahudi berpakat dengan kafir Quraisy untuk menentang Rasulullah.

Hasil gabungan puak-puak tersebut maka mereka memperolehi jumlah tentera seramai 10,000 orang. Mereka pun menuju ke Madinah. Mendengar sahaja mereka berhasil mengumpulkan tentera yang ramai maka Rasulullah pun membuat satu mesyuarat dengan para sahabat bagaimana hendak menghadapi jumlah sebanyak itu. Pada masa itu jumlah umat Islam masih sedikit, dalam sekitar 3,000 orang sahaja. Memang tak boleh menandingi dan mengalahkan mereka secara berhadapan kalau mengikut logik.

Tampil
sahabat Nabi iaitu Salman al-Farisi berasal dari Parsi. "Hangpa toksah takut, aku ada idea baik punya", kata beliau. Beliau memberitahu Rasulullah tentang ideanya untuk membuat parit mengelilingi kota Madinah kerana di negaranya mereka membuat parit ketika hendak berperang. Dia yakin parit itu dapat menghalangi musuh untuk menyerang, bahkan merupakan benteng pertahanan yang kuat. Rasulullah setuju. Ini merupakan perang pertama yang mereka guna parit sebagai benteng. Cara ini belum pernah dibuat oleh mereka ketika perang dahulu. Maka semua umat Islam di Madinah bergotong-royong menggali parit dan tidak terkecuali Rasulullah s.a.w sendiri. Parit yang digali panjangnya hampir mengelilingi kota Madinah, dalamnya lebih 10 hasta dan lebarnya lebih 40 hasta.

Setibanya pihak musuh di Madinah, mereka terkejut beruk melihat pertahanan yang dibuat kaum Muslimin. "Huk aloh, demo ni main buat parit pulok, guano nak serang", kata ketua musuh Abu Sufian. Tetapi itu tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya dia mengarahkan tentera-tenteranya berkhemah di luar kota Madinah bertujuan untuk mengepung kaum Muslimin. Mereka mengepung selama 16 hari.

Pada malam hari ke-16, sedang tentera-tentera kafir berbual dan merancang serangan untuk keesokan harinya, tiba-tiba kedengaran bunyi angin ribut yang kuat serta tapak kaki kuda berlari dan gemerincing pedang. Abu Sufian bingkas bangun menyangkakan tentera-tentera muslimin datang menyerang hendap mereka. Kelam-kabut mereka memakai baju perisai serta mencapai senjata masing-masing.

Deruan angin semakin kuat. Bunyi tapak kaki kuda semakin jelas menghampiri. Tentera gabungan berasa cemas dan ketakutan. Manakan tidak, waktu malam hendak nampak apa. Gelap gelita. Mereka tidak pasti tentera muslimin akan menyerang dari arah mana.

Datanglah tentera Allah berupa angin ribut yang kuat menghentam kawasan perkhemahan mereka. Pasir dan batu berterbangan, tiang-tiang khemah tercabut dan tunggang langgang. Kuda-kuda dan unta-unta mereka ketakutan menjadi tidak tentu hala mencari tempat perlindungan. Lebih menggerunkan mereka mendengar laungan ALLAHUAKBAR yang sangat kuat dari langit yakni suara-suara tentera berupa malaikat. Tentera kafir hilang tempat perlindungan akibat khemah mereka yang sudah diterbangkan angin.

Yang menghairankan, kejadian angin ribut semua tu berlaku di kawasan tentera kafir sahaja. Kuasa Allah melangkaui fikiran manusia. Tempat geng tentera muslimin tenang tidak ada apa-apa yang berlaku. Padahal mereka terpisah dengan parit sahaja. Dekat je tu, mustahil mereka tak kena sama. Malah mereka dapat mendengar bunyi ribut dan pekikan kelam kabut tentera kafir.

Abu Sufian jadi cemas. Menggelabah dibuatnya dengan kejadian yang dahsyat itu. Terus dia beri arahan supaya tentera Quraisy berpatah balik pulang ke kota mereka. Hendak ditunggu pun tidak tahu berapa lama angin ribut itu akan berakhir. Malah bekalan makanan mereka semua sudah entah ke mana. Berlari mereka mencari jalan pulang dan ada yang mencari kuda-kuda mereka untuk ditunggangi.

Maka perang ini tiada pertempuran dahsyat berlaku kerana Allah menghantar tentera-tenteranya terlebih dahulu untuk melindungi tentera muslimin. Demikan kuasa Allah yang tidak terduga oleh akal kita. Semoga kita mendapat iktibar.

"Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (al-ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan ingatlah Allah sentiasa nampak apa yang kamu lakukan." (Surah al-Ahzab : 9)

No comments: