20 January 2012

Tentera Allah - Air

Kisah ini berlaku sekitar tahun 1450 SM.

Apabila Musa diangkat darjat sebagai Nabi. Baginda hendak mengajak Firaun dan pengikutnya memeluk Islam. Tetapi Firaun yang bongkak dan sombong itu berkata,"Aku ini tuhan kamu, aku berkuasa ke atas kamu dan kamu semua hendaklah bersujud kepadaku." Musa hendak menunjukkan kebenaran ajaran yang dibawanya dengan mencabar ahli sihir Firaun. Punya la berlagak ahli sihir ni, memang ngam la dengan pemerintahnya. Dia sound Nabi Musa. "Gua takde hal la nak lawan. Jangan terkejut dengan black magic yang gua tunjukkan nanti sudah la." Ahli sihir tadi membaling tali-tali yang banyak ke atas lantai, terus tali-tali tu bertukar menjadi ular. Kagum bagi penonton yang melihat. Nabi Musa dengan tenang mencampak tongkat beliau ke tanah dan dengan izin Allah tongkat itu bertukar menjadi ular yang sangat besar. Punya la besar sampai ular-ular ahli sihir tadi dimakan semuanya. Melutut ahli sihir tadi dan berkata, "Sesungguhnya apa yang aku lihat tadi tidak pernah aku melihatnya sebelum ini. Itu bukan sihir dan aku tahu tuhanmu telah menolongmu." Terus ahli sihir itu mengucap syahadah.

Sejak kejadian itu makin bertambah pengikut Nabi Musa dan Firaun mula rasa kedudukannya goyang. Firaun mengambil langkah zalim kaw-kaw punya kepada Bani Israil yang juga pengikut Nabi Musa tadi dengan bermacam-macam bentuk kezaliman. Nabi Musa tidak dapat menolong banyak pada masa itu. Beliau hanya mampu menenteramkan hati mereka bahawa akan tiba saatnya kelak di mana mereka akan dibebaskan oleh Allah dari segala penderitaan. Firaun rasa rancangannya gagal kerana walaupun pengikut Nabi Musa dizalimi tapi mereka tetap utuh dengan pegangan mereka. Maka, ditingkatkan lagi tahap kezaliman ke level superpower ultra zalim. Bukan setakat pengikut Nabi Musa, sekali semua rakyatnya yang kebanyakan asal Bani Israil tidak dapat bertahan lagi.

Akibat penderitaan tindasan dan penganiayaan Firaun, akhirnya mereka sedar bahawa benar Nabi Musa-lah yang dikirimkan oleh Allah untuk membebaskan mereka dari kezaliman Firaun. Maka berduyun-duyunlah mereka datang kepada Nabi Musa memohon pertolongan agar mengeluarkan mereka dari Mesir. Bertolaklah rombongan kaum Bani Israil yang dipimpin Nabi Musa meninggalkan Mesir menuju Baitul Maqdis. Sejurus Firaun mengetahui mereka melarikan diri, dia mengarahkan semua bala tenteranya untuk mengejar mereka.

Setelah selama semalam suntuk berjalan kaki baru rombongan Bani Israil dapat melepasi padang pasir dan mereka tiba di tepian Laut Merah. Sayup mereka nampak Firaun dan tentera-tenteranya mengejar mereka di belakang. Rasa cemas dan takut di hati semua pengikut Nabi Musa dan Bani Israil. Di depan mata terbentang lautan yang luas dan di belakang pula Firaun dan bala tenteranya semakin menghampiri untuk menangkap mereka dan dibawa kembali ke Mesir. Kalau bawa balik pun mereka yakin hukuman mati akan dijatuhkan ke atas mereka.

Pada saat yang cemas itu di mana para rombongan berdebar-debar ketakutan, turunlah wahyu Allah kepada Musa dengan perintah agar memukul air laut dengan tongkatnya. Maka dengan izin Allah terbelah air laut itu sehingga ke dasar di mana jika dilihat seperti gunung besar yang diperbuat dari air. Terkejut semua yang berada di situ melihat perkara ajaib di depan mata mereka. Setelah mereka semua sudah selamat menyeberang, terlihatlah mereka Firaun dan konco-konconya di seberang sana. Berkatalah Firaun kepada kaumnya, "Lihat bagaimana lautan terbelah menjadi dua, memberi jalan kepada kami untuk mengejar kamu semua. Sedangkan laut pun mentaati aku dengan memberi laluan kepadaku, inikan pula kamu manusia, berani mengingkari perintahku. Tidakkah ini membuktikan bahawa aku adalah yang berkuasa yang harus disembah olehmu?" Maka dengan rasa bangga dan sombongnya turunlah Firaun dan bala tenteranya ke dasar laut yang sudah mengering untuk mengejar Musa dengan tidak mengetahui air laut itu sedang menunggu perintah dari Allah untuk menghapuskan mereka.

Setelah Firaun dan bala tenteranya berada di tengah-tengah laluan laut yang membelah itu, jauh bagi mereka untuk berpatah balik dan untuk ke seberang, tibalah perintah Allah kepada air untuk kembali kepada bentuk asal mereka. Dan kembalilah air yang menggunung itu menutupi jalur jalan yang terbuka di mana Firaun dengan sombongnya sedang memimpin barisan tenteranya mengejar Nabi Musa dan Bani Israil. Tertimbuslah mereka hidup-hidup di dalam perut laut. Pada detik akhir nyawanya, berkatalah Firaun, "Aku percaya bahawa tiada tuhan selain Tuhan Bani Israil. Aku beriman pada Tuhan mereka dan berserah diri kepadaNya sebagai seorang muslim." Berfirmanlah Allah kepada Firaun yang sedang menghadapi sakaratul maut, "Baru sekarang kau berkata beriman kepada Musa dan berserah diri kepadaKu? Tidakkah kekuasaan kau dapat selamatkan kau dari maut? Baru sekarang kau sedar dan percaya setelah bermacam-macam kezaliman kau buat sepanjang hidup kau? Terimalah sekarang pembalasanKu yang akan menjadi pengajaran bagi orang-orang yang akan datang selepas kau. Akan Aku apungkan tubuh kasar kau untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang ragu akan kekuasaanKu."

"Dan (kenangkanlah) ketika Kami belahkan laut (merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya." (Surah al-Baqarah : 50)

No comments: