14 December 2011

Untuk Apa Ilmu Yang Kita Ada?

Ilmu Allah itu sangat luas dan tidak terbatas. Jika habis semua pokok di dunia ini dijadikan pen sekalipun, dan kesemua air laut itu dijadikan dakwat untuk pen tersebut, masih belum cukup untuk menulis kesemua ilmu-ilmu Allah.

Apa tujuan kita mempelajari ilmu Allah? Menyebarkannya? Riak supaya orang tahu kita banyak ilmu daripada mereka? Atau apa? Gunakanlah ilmu yang kita ada sebaik mungkin. Kerana jika kita menyalahgunakannya, confirm ke neraka. Tak percaya? Mari kita lihat hadis sahih berikut.

"Sesiapa yang menuntut ilmu tetapi dengan tujuan bermegah-megah menandingi alim ulama dengan ilmunya itu, atau dengan tujuan bertengkar dan bertegang urat dengan orang-orang yang jahil dengan ilmunya itu, ataupun dengan tujuan menarik perhatian orang ramai memujinya, nescaya Allah akan memasukkannya kedalam neraka." (HR Tirmidzi dan Ibn Majah)

Di sini saya huraikan serba sedikit 3 golongan tersebut supaya anda faham.

1. Niat tuntut ilmu untuk bermegah, nak berlawan dengan alim ulama. Ulama yang benar-benar jujur dan ikhlas tak bolehlah kita lawan kerana mereka benar-benar ikhlas dengan ilmu mereka. Kalau mereka ceramah tentang kehidupan Nabi saw yang serba zuhud, terlebih dahulu mereka memiliki sifat tersebut. Inilah ulama yang ikhlas dengan ilmu mereka. Tapi kalau ulama yang dalam debat olok-olok tu yang tu takpa. Boleh nak lawan. Boleh ajak berdebat lagi anytime. Sebab mereka ni jenis pakai Quran tapi main-main pula dalam debat olok-olok.

Ulama yang baik dilarang sama sekali kita tandingi. Setakat nak perbetulkan yang dia silap tu takpa. Kerana memang tiada siapa pun yang maksum kecuali Nabi saw. Semua manusia memang tidak terlepas dari membuat kesilapan. Kadang-kadang slip of tongue tersilap sebut walaupun dia ulama besar, maka kita boleh tegur dia.

Jadi, siapa yang menuntut ilmu untuk berlawan dengan para ulama, maka Allah hantar dia ke neraka. Sebab itu ilmu yang kita pelajari hendaklah digunakan sebaik mungkin. Supaya dapat membawa masyarakat balik kepada Allah swt.

2. Siapa yang belajar ilmu dengan tujuan nak berdebat atau bertegang leher dengan orang yang jelas jahil. Contohnya, bila kita jumpa dengan orang yang memang jelas kejahilan mereka tentang Islam, lalu kita pun guna ilmu yang ada untuk bertegang urat nak tunjuk yang kitalah terer. Memang menjadi satu kewajipan untuk kita perbetulkan dan bawa dia keluar dari kejahilan mereka itu. Tetapi jangan ada dalam hati kita perasaan bongkak, ujub, sombong yang kita nak bertegang urat supaya boleh perlekehkan orang jahil. Jangan sesekali ada perasaan itu. Sebab kata Nabi saw bahawa Allah akan hantar kamu ke neraka.

Ada seorang kawan pernah memberitahu bahawa dia masuk ke dalam satu forum membincangkan tentang masalah wanita. Tetapi malangnya mereka yang berilmu memperlekehkan yang jahil. "Kau tu baru nak belajar pakai tudung, tu pun pakai salah ikut tah apa fesyen, cam tak ikhlas je." Dah tahu dia baru nak belajar kenapa tak ajar dengan cara berhikmah. Dah memang dia terang jahil tidak tahu apa-apa tentang etika seorang muslimah. Ikhlas atau tidak mereka tu siapa yang tahu? Allah. Itu pun Alhamdulillah Allah bukakan hati yang jahil itu untuk bertudung. Dengan ayat mereka tadi tu tak mustahil yang jahil akan kembali semula dengan life mereka sebelum ni.

Sebab itu, orang jahil ni, kita takyah hujjah banyak-banyak. Kalau kita tengok mereka jawab nampak jahil, baik kita ambil langkah diamkan diri saja, takyah hujjahlah. Kalau kita berhujjah lagi, dan mereka semakin lawan, semakin jahil. Semakin buka mulut, semakin terserlah kebodohannya; maka dibimbangi aqidahnya boleh terbatal disebabkan kita. Tak pasal-pasal dengan kita-kita sekali berdosa. Jadi, kita ambil langkah sepertimana yang disebut dalam Quran, "Selamatlah ke atas kamu! Semoga Allah beri hidayah pada kamu."

Walaupun begitu, tegur tetap kena tegur juga. Bila seseorang itu nampak jahil, perbetulkan dia. "Kamu ni jahil. Sepatutnya kamu tak boleh duduk dalam kejahilan. Baliklah kepada Islam." Kita wajib beritahu macam itu. Bukan makna kita kena dok diam.
Sebab itu dengan orang jahil ni kena tegur dengan cara berhikmah. Supaya mereka dapat ilmu yang kita terangkan itu dan faham keseluruhannya. Tetapi jangan sampai nak memperlekehkan orang lain. Jangan sampai tahap nak bagi orang nampak kita yang hebat dan mereka yang jahil tu tiada apa-apa nilai. Sebab dari situ sifat ujub dan bongkak timbul, dan boleh membawa kepada neraka Allah swt.

3. Barangsiapa yang menuntut ilmu untuk dipuji orang, Allah akan hantarnya juga ke neraka. Tapi kalau kita tidak minta dipuji, orang ramai nak cerita juga hal kita, betul tak? Kata Nabi saw, "Itu tandanya Allah menaikkan darjat kamu." Nampak tak bezanya? Janji, kita jangan berniat untuk dipuji.

Inilah dia apa yang nak saya sebut pada kali ini; iaitu betulkanlah niat nak mengaji ilmu dan betulkanlah juga tujuan kita. Insyaallah moga diperbetulkan. Yang kita risau ialah saudara mara kita yang lain, yang masih lagi belum faham tentang agama Allah swt. Apa yang kita boleh buat ialah berdoa semoga Allah membuka pintu hati mereka kerana Allah itulah sebaik-baik pembuka hati manusia.

Wallahua'lam

Rujukan adab dengan manusia

No comments: