28 December 2011

Nazar & Kafarah

Apa itu nazar?

Dari segi bahasa bermaksud berjanji melakukan perkara samada baik atau buruk.
Dari segi syara' bermaksud berjanji dengan Allah untuk perkara yang baik sahaja.

Syarat orang yang bernazar:
1. Islam
2. Berakal (nazar kanak-kanak atau orang gila tidak sah)
3. Sukarela (jika dipaksa tidak sah nazarnya)

Perkara yang dinazarkan itu adalah perkara ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah. Tidak boleh bernazar kepada perkara yang harus seperti makan atau minum, bernazar kepada yang memang sedia wajib kena buat seperti solat 5 waktu dan puasa di bulan ramadhan, dan bernazar untuk membuat dosa atau maksiat seperti minum arak dan sebagainya.

"Kalau aku dapat kerja gaji RM3000, aku berhenti minum arak."
"Kalau aku dapat wakil takraw sekolah, aku akan solat zohor nanti."
"Kalau aku menang pertandingan tu, aku nak makan malam sedap-sedap."

Semua di atas nazarnya tidak sah kerana perkara yang dinazarkan adalah yang memang haram, yang memang wajib, dan memang harus buat.

Kalau macam ni baru betul:

"Kalau result final aku dapat 4 flat, aku nak puasa sunat 10 hari kerana Allah."

Jenis-jenis nazar

1. Nazar Lajaj (bantahan)
Membuat nazar kerana didorong oleh perasaan marah ketika pertengkaran. Tengah dok bergaduh ni, "Jika aku pakai seluar hang lagi bawak pi kerja, aku puasa sebulan."

2. Nazar Mujazah (pembalasan)
Bernazar membuat sesuatu amal jika tujuan atau hajatnya tercapai. "Jika penyakitku sembuh, aku akan sedekah seekor kambing kepada fakir miskin."

3. Nazar Mutlak (semata-mata)
Bernazar membuat sesuatu amal dengan tidak ada sebarang sebab. "Aku nak berpuasa pada hari Khamis kerana Allah." Maka wajib dia tunaikan apa yang dikatakan tetapi walaubagaimanapun dia boleh menangguhkan puasa itu sehingga dia rasa dia bersedia untuk membuatnya.

Ada juga pendapat yang mengatakan nazar ada yang bertempoh dan tidak bertempoh.
Bertempoh : "Kalau bisnes maju, aku nak bawa mak aku pergi umrah pada tahun ini."
Tidak bertempoh : "Kalau bisnes maju, aku nak bawa mak aku pergi umrah nanti."

Jadi yang bertempoh kena tunaikan nazarnya tahun ini, dan jika dah masuk tahun hadapan maka dia kena kifarah. Untuk yang tidak bertempoh bila-bila dia rasa mampu baru dia bawa mak dia pergi umrah.

Kafarah nazar (denda)

Jika tidak dapat ditunaikan nazar, maka hendaklah ditebus nazar itu seperti mana menebus sumpah.

"Kafarah bagi nazar sama dengan kifarah bagi sumpah." (Hadis Riwayat Muslim)

1. Memberi makan kepada 10 orang miskin.
2. Memberi pakaian kepada 10 orang miskin.
3. Memerdekakan seorang hamba.

Jika tidak dapat juga tunaikan denda tersebut, maka hendaklah dia berpuasa 3 hari.

"Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya (kifarah) ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian kepada mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jadalah dan peliharalah sumpah kamu. Demikanlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur." (Surah Al-Maidah : 89)

Jika seseorang itu bernazar pada perkara yang tidak sah nazarnya, maka dia tidak wajib membayar kifarah dengan sebab dia menyalahi dengan apa yang dinazarkan, sekalipun pada perkara yang harus.

Jadi apabila hendak bernazar berhati-hatilah. Jangan dibuat main kerana itu janji kita dengan Allah.

Wallahua'lam

Rujukan : Kitab fiqh, Mustofa al-Bugho, Ali asy-Syarbaji

No comments: