20 December 2011

Baitulmal Sekarang & Korupsi

Tahukah anda apa itu Baitulmal? Apa fungsinya? Dari mana datang duit dan ke mana perginya?

Di sini saya huraikan setakat mana ilmu yang saya tahu dan sama-sama kita berfikir.

Baitulmal
- merupakan sebuah institusi kewangan yang berfungsi untuk mengurus harta-harta umum atau menjadi tempat menyimpan barang-barang berharga seperti emas, perak, batu permata dan seumpamanya.
- telah bermula pada zaman Rasulullah saw dan berterusan ke zaman Khulafa al-Rasyidin dan selepasnya, dan diperkemaskan sistemnya sepanjang zaman Khulafa al-Rasyidin.

Fungsi
Tujuan penubuhan Baitulmal ialah untuk meningkatkan perkembangan ekonomi negara, menyediakan keperluan asas negara dan membasmi kemiskinan. Pembahagian harta Baitulmal ditentukan mengikut keperluan secara adil dan saksama mengikut syariah.

Sumber Baitulmal
Ada 3 sumber utama iaitu

- harta masyarakat : sumber yang diperoleh daripada golongan kaya dan diagihkan kepada golongan yang berhak menerimanya
- harta negara : sumber yang diperoleh daripada harta rampasan perang, cukai kharaj, jizyah dan harta tanpa waris.
- harta umum : terdiri daripada hasil perniagaan, pertanian dan sebagainya.

Sumber baitulmal dengan lebih detail.

Zakat.
Sebahagian harta yang dikeluarkan untuk diagihkan kepada mereka yang berhak menerimanya. Terdapat beberapa jenis zakat iaitu zakat fitrah, zakat harta, zakat ternakan dan pertanian, zakat emas dan perak.

Kharaj
Kharaj ialah cukai tanah yang perlu dibayar oleh semua pemilik di wilayah taklukan kerajaan Islam dengan kadar 10%.

Jizyah
Jizyah merupakan cukai perlindungan yang dikenakan ke atas orang bukan Islam yang berada di bawah naungan negara Islam. Dikenakan dengan beberapa syarat iaitu lelaki yang merdeka, baligh, masih hidup dan berupaya.

Ghanimah dan Al-fay
Ghanimah ialah harta rampasan perang dan Al-fay ialah harta rampasan tanpa perang iaitu harta peninggalah orang mati yang tidak ada pewaris dan harta karun.

Usyur
Usyur ialah cukai perniagaan yang dikenakan kepada peniaga Islam dan bukan Islam.

Jika zakat dipungut dan diagihkan dengan mengikut syariah, logiknya masalah kemiskinan telah pun terhapus. "Mustahil la. Mana cukup bro. Kena ikut asnaf lagi. Pembangunan macam mana pulak?"
Apa? Mustahil? Hasil pungutan zakat yang ratusan juta pun tak cukup untuk negeri masing-masing? Tak cukup untuk pembangunan lagi? Tak boleh cover semua? Baiklah, kita tolak sumber zakat dan kita ambil sumber usyur (cukai perniagaan) dan sumber yang tidak mematuhi syariah.

Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, penjualan arak, perjudian, penipuan, rompakan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah berikut:

Diserah kepada Baitulmal untuk maslahat umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelanggaraan jambatan, tandas awam dan sebagainya; diserah kepada golongan fakir miskin; atau jika harta tersebut merupakan harta rompak, rasuah, curi dan sebagainya, maka harta tersebut perlu diserahkan kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, perlu diberi kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris, maka harta itu hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-87)

Total sumber mengikut syariah dan sumber tidak mengikut syariah masih tidak cukup? Impossible. oopss.. ter'speaking' pula.

Mungkin ada yang tengah dok fikir sekarang, bagaimana harta yang haram dan tidak baik ini boleh disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin atau perkara-perkara kebajikan sedangkan kita sendiri tidak tergamak untuk menggunakannya? Al-Qardawi menjelaskan bahawa harta tersebut memang haram dan tidak baik dalam konteks orang yang mendapatkannya secara tidak halal untuk penggunaan diri sendiri. Tapi dalam konteks fakir miskin dan juga perkara-perkara kebajikan ia adalah baik dan harus untuk digunakan.


Persoalannya, jika pada hari ini sumber-sumber haram ini tidak diserahkan kepada Baitulmal ke mana ia pergi? Dan adakah kerajaan sendiri yang terlibat menjana wang atau pendapatan haram untuk rakyatnya?

Malaysia sebagai sebuah negara Islam, jangan sesekali pemerintah terlibat dalam menghalalkan penjanaan wang haram.

Dalam hal judi, tidak salah untuk Baitulmal menerima wang hasil daripada perjudian tetapi yang bukan ditaja oleh pemerintah sendiri. Begitu juga faedah bank, wang rompakan dan lain-lain. Tetapi yang salahnya bila kerajaan sendiri yang bersekongkol memberi lesen judi, menghalalkan perbankan riba konvensional lalu memakan hasilnya melalui cukai yang dipungut.

Alhamdulillah kalau pemerintah tidak mengeluarkan lesen-lesen tersebut. Tapi apa cerita pula ada beberapa orang Melayu-Islam yang terlibat sebagai Ahli Lembaga Pengarah di dalam syarikat perjudian tersebut. Malah ada juga di dalam syarikat pengilangan arak. Ini perkara yang menyedihkan.

Untuk itu sama-sama kita fikir adakah fungsi Baitulmal sekarang berfungsi dengan betul dan cara penyalurannya atau pengagihannya tepat? Adakah kerajaan kita terlibat dalam menjana wang haram seperti meluluskan lesen judi, membuka kilang-kilang arak, menghalalkan riba dan pelbagai lagi bentuk perdagangan atau perniagaan yang tidak mengikut syara'?

Wallahua'lam

p/s :
Jika ada sebarang info yang salah atau kekurangan ilmu saya sendiri harap diberi tunjuk ajar.

Rujukan fiqh & internet

No comments: