01 September 2010

Nilai Merdeka

Berapa lamakah sebenarnya tempoh 53 tahun bagi sesebuah negara adalah sesuatu bersifat relatif. Di tangan para pemimpin progresif dan berorientasikan pencapaian mutlak, tempoh lebih sedikit daripada lima dekad itu adalah terlalu singkat lantas mereka bertungkus-lumus berusaha sebanyak mana kemajuan termungkin.

Namun di tangan pemimpin yang merasakan diri telah beraada di zon selesa kerana akhirnya berjaya mengisi jawatan politik dalam kerajaan, maka masa tersebut agak lama dan tidak perlu terburu-buru dalam mengusahakan sesuatu baik untuk negara mahupun rakyat.

Di tangan pemimpin seperti ini, sambutan Hari Kebangsaan yang dikaitkan dengan tarikh kemerdekaan tidak lebih daripada satu temasya untuk berseronok sambil memutarkan kembali kisah yang terlihat sebagai betapa jerihnya sebuah sebuah parti politik berulang-alik ke London untuk mendapatkan kebenaran, "okay anda boleh mentadbir negara sendiri".

Merdeka, jika sekalipun dimengertikan menurut paparan Umno, sebenarnya bukanlah sesuatu yang secara ekslusifnya diperjuangkan oleh Umno. Malah Umno hanya melangkah ke dalam senario perjuangan ini pada tahun 1946. Itupun sebagai menjadikan gerakan kebangsaan yang dihadiri oleh hampir kesemua entiti yang mewakili kepentingan Melayu pada Kongres Melayu pertama di Padang Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur pada 4 Mei 1946.

Namun hakikatnya semangat nasionalisme sebenarnya telah bermula lama sebelum nama Umno memasuki gegendang telinga orang Melayu. Justeru, merdeka tidak boleh sama sekali dikaitkan semata-mata dengan Umno.

Lebih daripada 70 tahun sebelum wujudnya Umno, Dato' Maharaja Lela, Dato' Sagor, Ngah Kadin dengan dipersetujui oleh Paduka Sultan Abdullah Shah II, Sultan Perak ke-26 telah bersepakat untuk melakukan pembunuhan terhadap JWW Birch,Residen British Perak ketika itu.

Apa yang dilakukan oleh mereka di Perak ini, disusuli pula oleh Dato' Bahaman dan kemudiannya Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang. Mereka bersama-sama pengikutnya menentang British secara terbuka. Kemarahan Dato' Maharaja Lela kerana campurtangan British dalam adat resam Melayu dan kemarahan Dato' Bahaman kerana cukai hasil hutan yang diperkenalkan oleh Residen British sehingga memaksa mereka memberontak sama ada membunuh atau menyerang pegawai British di Malaya yang ketika itu samalah bagaimana peristiwa Jamuan Teh Boston dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Amerika Syarikat lebih seratus tahun sebelum itu.

Ekoran daripada peristiwa ini, tidak sampai dua tahun kemudian, George Washington mengetuai gerakan tentera menentang Kerajaan British sehingga ke titisan darah terakhir. Apabila keadaan British semakin lemah akhirnya, menerusi deklarasi yang ditulis oleh Thomas Jefferson, Amerika Syarikat akhirnya bebas daripada pemerintahan Raja George III bermula pada 4 Julai 1776.

Sekiranya rakyat Amerika meraikan hari kemerdekaan mereka pada tarikh tersebut, maka ia benar-benar merayakan pembebasan mereka daripada penjajahan British hasil daripada limpahan darah,keringat dan air mata tanpa perlu mendapat belas ehsan atau kebenaran daripada kerajaan tersebut.

Bagi rakyat Malaysia pula apakah ingatan yang harus dikaitkan dengan sambutan kemerdekaan? Apakah ia sekadar tayangan semula visual Tunku Abdul Rahman, Presiden Kedua Umno yang secara 'default' telah ditabalkan oleh British selaku Perdana Menteri Pertama tahun demi tahun sehingga dunia kiamat?

Generasi lama pasca 31 Ogos 1957 mungkin boleh dipengaruhi dan taksub lalu menelan bulat-bulat apa yang disogok oleh Umno mengenai apa yang mahu diaparkan oleh parti tersebut sebagai jasa dan sumbangan ekslusif mereka yang tidak dikongsi oleh orang lain tentang perjuangan ke arah mencapai kemerdekaan.

Namun tidak mustahil apabila generasi hari ini mengintai ke dalam buku sejarah, mereka mula sangsi apa yang tertulis sebagai versi piawaian (standard version) perjuangan kemerdekaan ala Umno - yang mana sekadar kisah beberapa orang manusia berulang-alik ke London, memujuk rayu orang besar Britain demi meminta belas ehsan agar diisytiharkan Tanah Melayu sebagi 'merdeka'.

Tentu sekali pemimpin Umno, dulu, kini dan selamanya boleh mendabik dada mengatakan mereka memperjuangkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah. Namun mereka terlupa, betapa hal itulah yang menyebabkan kemerdekaan yang dicapai itu jauh kurang bermakna daripada kemerdekaan Amerika Syarikat, Indonesia dan negara-negara lain yang telah dijajah oleh penjajah.

Apa yang dilakukan oleh Dato' Maharaja Lela, Dato' Sagor, Sultan Abdullah, Mat Kilau, Dato' Bahaman, Rosly Dhoby (di Sarawak) dan lain-lain adalah apa sperti yang telah dilakukan oleh George Washington di Amerika.

Dan apa yang telah dilakukan oleh Dato' Ahmad Boestaman, Burhanuddin Helmy, Pak Sako dan ramai lagi dalam era pra-merdeka yang lebih moden adalah sama seperti yang diusahakan oleh Mahatma Gandhi, Jean Jacques Russeau, Nelson Mandela di negara mereka masing-masing bagi mengusir segala bentuk penjajahan. Merekalah sekumpulan manusia Melayu yang telah memulakan segala-galanya. Mereka enggan berkompromi dengan British. Mereka mempertaruhkan jiwa raga dan usia hanya untuk memastikan suatu ketika kelak orang Melayu dan rakyat Malaysia yang lainnya akan akan menikmati kehidupan tanpa campur tangan orang lain.

Sesungguhnya, generasi rakyat Malaysia hari ini lebih terhutang budi kepada mereka jika dibandingkan dengan Umno. Mereka tidak meminta belas kasihan dan merayu kepada British. Mereka tidak pernah merasakan mereka adalah hamba yang bertuankan kepada British. Merdeka bagi mereka lebih daripada sekadar berkumpul di stadium dan melaungkan Merdeka!Merdeka!Merdeka!

2 comments:

Jarr said...

good writing bro.suka aku baca, byk info.

qalamunir said...

wAm,

Apabila mengkaji sejarah,seperkara perlu diambil perhatian iaitu kaedah memilih fakta. Ia ibarat padi yang ditaburkan di atas tanah. Kita perlu ada pendekatan yg tajam untuk memilih yg mana berisi dan hampa, sebelum digunakan.

Justeru belajarlah daripada aYam yg memang pintar memilih dan mematuk padi yg berisi dari yg hampa yg ditaburkan kepadanya! Karena padi tak semuanya berisi!Itulah hakikat fakta - ada fakta yg sahih dan ada fakta yg diselewengkan.Oleh itu kenalilah sejarah Malaysia dengan kajian dari berbagai sudut dan fakta tambahan. Bukan sekadar drp buku teks sekolah@universiti yg ditulis atas sukatan/kekangan tertentu.